Minggu, 12 Januari 2014

Berzikir Dengan Lafaz "Allah", "Allah" Secara Mufrad (Sendirian)

Salah satu zikir yang paling terkenal di kalangan sufi adalah dengan menyebut kata "Allah, Allah". Terutamanya tarikat sufi Naqshabandiyyah dan Syaziliyyah. Berzikir dengan lafaz Jalalah secara mufrad juga sudah menjadi sebuah ibadah yang biasa dilakukan oleh umat Islam
di Nusantara tanpa melihat latar belakang tarikat sufi mereka. Ini kerana banyak amalan mengamalkan zikir mufrad ini diletakkan di dalam amalan Tahlil yang sangat masyhur di Nusantara atau Alam Melayu. Bayangkan, tidak sedikit buku-buku tahlil dan ijazah tahlil yang menjadi ratib zikir Nusantara mencantumkan zikir mufrad ini sebagai zikir tambahan.


Akan tetapi, puak Wahabi sangat keras menentang bentuk zikir ini kerana dianggap sebagai bid'ah, juga tidak memberi makna. Ini dinukil dari kalam ulama agung anutan mereka iaitu Syaikh Ibn Taimiyyah RH (al-Radd ala al-Mantiqiyin, 35).

Untuk menjawab isu ini, akan kami kemukakan beberapa hujjah.

Hujjah al-Quran:

1- Surah al-An'am Ayat 91:
قُلِ اللَّهُ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُون
Terjemahan: Katakanlah: "Allah", Kemudian biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.

Ayat ini menunjukkan perintah menyebut nama Allah.

2- Surah al-A'raf Ayat 180:
وَلِلّهِ الأَسْمَاء الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُواْ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَآئِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Terjemahan: Allah mempunyai nama-nama Yang baik, maka serulah kepadanya Dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang Yang berpaling dari kebenaran Dalam masa menggunakan nama-namaNya. mereka akan mendapat balasan mengenai apa Yang mereka telah kerjakan.

Ayat ini jelas sekali perintah Allah untuk berdoa menggunakan nama-nama-Nya. Bukankah lafaz Jalalah "Allah" adalah nama-Nya yang unik tidak boleh dimiliki selain-Nya? Maka jelas sekali berzikir dengan melafazkan lafaz Jalalah secara mufrad adalah disunnahkan!

3- Surah al-Muzammil, Ayat 8:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا
Terjemahan: Dan sebutlah akan nama Tuhanmu, serta tumpukanlah kepada-Nya dengan sebulat-bulat tumpuan.


Ayat ini jelas sekali perintah menyebut nama Allah dalam berzikir dengan khusyuk. Banyak sekali ayat yang lain, akan tetapi kami cukupkan sebanyak ini sahaja dulu.

Hujjah daripada Hadis Nabi SAW:

Sahih Muslim riwayat Anas RA:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لا تقوم الساعة حتى لا يقال في الأرض: الله الله) وفي رواية أخرى: (لا تقوم الساعة على أحد يقول الله الله
Terjemahan: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: tidak akan berdirinya hari kiamat sehingga tidak disebut di bumi "Allah, Allah". Riwayat lain: Tidak berdirinya kiamat terhadap seseorang yang berkata "Allah, Allah".

Hadis ini sangat jelas, mengisyarahkan bahawa anjuran berzikir dengan mengulang-ulang kalimah "Allah, Allah". Imam al-Nawawi menegaskan bahawa kedua riwayat adalah benar-benar mengulangi lafaz Jalalah seperti  di dalam Syarah Muslimnya:

وفيه قوله صلى الله عليه وسلم : ( على أحد يقول الله الله ) هو برفع اسم الله تعالى وقد يغلط فيه بعض الناس فلا يرفعه واعلم أن الروايات كلها متفقة على تكرير اسم الله تعالى في الروايتين وهكذا هو في جميع الأصول

Malah dalam kitab Mirqah al-Mafatih Syarah Misykat al-Mashabih menukil dari Imam al-Thibi bahawa makna dari "sehingga tidak disebutkan" di sini adalah sehingga tidak disebutan nama Allah dan tidak disembah:
وهو المراد بما قاله الطيبي رحمه الله معنى حتى لا يقال حتى لا يذكر اسم الله ولا يعبد
Ini jelas sekali menunjukkan dengan mengulang-ulang kalimah Allah adalah memiliki arti zikir. Maka tentunya berzikir dengan mengulang-ulang kalimah Allah adalah sunnahkan seperti yang ditetapkan oleh ramai ulama.

Hujjah Pendapat Ulama:

1- Imam Abu Hanifah yang dinukil oleh Imam al-Kasani:
(ولأبي حنيفة أن النص معلول بمعنى التعظيم، وأنه يحصل بالاسم المجرد، والدليل عليه أنه يصير شارعًا بقوله : لا إله إلا الله، والشروع إنما يحصل بقوله : (الله) لا بالنفي) – بدائع الصنائع ج 1 ص 131.
Terjemahan Bebas: Bagi Abi Hanifah sesungguhnya nas menunjukkan arti mengagungkan (takzim), dan ia dapat dihasilkan murni dengan nama. Dalilnya adalah ia menjadi penentu syarak dengan ucapan "tiada tuhan melainkan Allah", hanya saja ia dapat dihasilkan murni dengan kata "Allah" tidak dengan memakai nafi.

Pendapat Imam Abu Hanifah sangat jelas sekali, bahawa dengan menyebut nama "Allah" sahaja sudah bertujuan mengagungkan dengan tanpa memerlukan keterikatan dengan kalimah lain.

2- Imam al-Ghazali:
وعند ذلك يلقنه ذكرا من الأذكار حتى يشغل به لسانه وقلبه فيجلس ويقول مثلا ( الله الله ) أو سبحان الله سبحان الله – الإحياء ج 3 ص 77.
Terjemahan Bebas: dan ketika itu, latihlah ia dengan berzikir sehinggal lidah dan hatinya terbiasa dengan zikir itu, maka duduk dan sebut semisal "Allah, Allah" atau "Subhanallah, Subhanallah".

Imam al-Ghazali sangat tegas mengajarkan bahawa zikir mufrad adalah bahagian dari zikir yang perlu dilazimkan.

3- Syaikh Abdul Qadir al-Jailani seperti yang dinukil Imam al-Dimyathi:
قال سيدي عبد القادر الجيلاني : الله هو الاسم الأعظم وإنما يستجاب لك إذا قلت : ( الله ) وليس في قلبك غيره .ولهذا الاسم خواص وعجائب منها أن من داوم عليه في خلوة مجردا بأن يقول ( الله الله )... إلخ – إعانة الطالبين ج 1 ص 10.
Terjemahan Bebas: telah berkata penghuluku Abdul Qadir al-Jailani: Allah adalah nama yang teragung, dan hanya dapat termakbulah bagi engkau dengan menyebut "Allah" dan tidak ada dalam hatimu selain-Nya. Ini disebabkan nama ini ada keistimewaan dan keajaiban, termasuk darinya sesungguhnya orang yang selalu menyebutnya ketika bersendirian dengan menyebut "Allah Allah"...

Sebenarnya banyak lagi pendapat ulama sufi maupun feqah. Akan tetapi, penulis merasa ini sudah sangat memadai untuk menunjukkan hujjah bolehnya berzikir dengan kalimah "Allah, Allah".

Lalu permasalahan yang disusuli dengan berzikir mufrad ini adalah isu berzikir dengan mengunakan kata ganti (dlamir) "هو" (DIA). Seperti orang berzikir dengan melafazkan: "هو هو هو". Zikir dengan cara ini dikenal juga dengan istilah al-Zikr bi al-Huwiyyah (الذكر بالهوية).

Untuk membahas perkara ini, perlu diketahui terlebih dahulu bahawa; pendapat kelompok sufi yang mengamalkan zikir ini adalah bermaksud ia sebagai isim dlamir yang kembali kepada Allah. Mereka berhujjah dengan ayat al-Quran sendiri seperti:

Surah al-Hasyr Ayat 22-24:
هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ (22) هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ (23) هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (24

Dari ayat-ayat ini, ia menunjukkan secara nas yang penunjukkannya secara pasti bahawa dlamir "هو" kembali menunjukkan kepada Allah terhadap semua nama-nama-Nya secara sighat dan makna.

Oleh itu, terdapat sebuah hadis yang menunjukkan bahawa dlamir "هو" adalah sebuah isim (kata nama) yang menunjukkan arti yang paling agung:

اسم الله الأعظم في هاتين الآيتين (وإلهكم إله واحد لا إله إلا هو الرحمن الرحيم) وفاتحه سورة آل عمران (الله لا إله هو الحي القيوم) – مسند أحمد والسيوطي في الجامع الصغير.

Dalam hal ini, kata "هو" diulang dua kali menunjukkan ia adalah yang dimaksud dari nama Allah yang paling agung.

Walau bagaimanapun, masalah sighat apakah yang terbaik untuk berzikir, itu terjadi khilaf di kalangan ulama. Akan tetapi, perlu kita akui bahawa berzikir menggunakan dlamir "هو" bukanlah sesuatu yang pelik lagi ajaib sehingga dianggap sebagai tokok tambah yang cela lagi keji. Bagaimana tidak? Ulama sejak dahulu sudah pernah menyebutkan isu ini. Misalnya, seorang ulama tafsir pemerintahan Uthmaniyyah Ismail Hakki (w. 1137H/1725M) dalam Tafsirnya Ruh al-Bayan berkata:
وأما ما قال بعض الكبار من أن الذكر بلا اله إلا الله أفضل من الذكر بكلمة ( الله الله )  و ( هو هو ) من حيث إنها جامعة بين النفي والإثبات ومحتوية على زيادة العلم والمعرفة فبالنسبة إلى حال المبتدى , فكلمة التوحيد تظهر مرآة النفس بنارها فتوصل السالك إلى دائرة القلب وكلمة ( الله ) تنور القلب بنورها فتوصل إلى دائرة الروح وكلمة (هو) تجلى الروح فتوصل من شاء الله إلى دائرة السر.
Beliau juga menambahkan:
فذكر دائرة النفس ( لا اله إلا الله ) فإما أن يهب الله له الإنصاف والندامة على تقصيراتها والميل إلى التدارك لما فات من المهمات فهي اللوامة للومها صاحبها بل نفسها على سوء عملها فذكر هذه الدائرة ( الله الله ) ويقال لها دائرة القلب لانقلابها إلى جانب الحقوإما أن تطمئن إلى الحق وتستقر في الطاعة وتتلذذ بالعبادة فهي المطمئنة لاطمئنانها تحت أمر الله بحب الله ويقال لهذه الدائرة دائرة الروح لاستراحتها بعبادة الله وذكره وتلذذها بشكره وذكر هذه الدائرة ( هو هو.

Dalam kedua pernyataan dan keterangan Imam Ismail Hakki ini, dapat difahami, bahawa golongan ulama agung Islam sudah pernah menyatakan bahawa amalan berzikir dengan lafaz "هو هو" adalah wujud, ditambah lagi dengan beberapa faedah di dalamnya.

Maka tidak perlulah kita terlalu bersangka buruk kepada saudara-saudara kita dari tarikat-tarikat sufi yang berzikir sama ada "Allah, Allah" atau "huw, huw"; kerana ini semua berdasarkan hujjah. Ingat, lemahnya hujjah seseorang belum tentu lemah di sisi orang yang lain. Maka sangat tercelalah orang yang terlalu sombong dengan menafikan keseluruhan sesuatu amalan, tanpa membincangkan kemungkinan kesahihan amalan tersebut, lalu datang menjadi hero seolah-olah mujtahid dan menasihati orang agar menjauhi perkara-perkara kononnya bid'ah yang keji. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang.


Wallahu A'lam bis Shawab.
Sumber:: Akitino
Share this article

0 Tinggalkan jejak:

Posting Komentar

 
Copyright © 2017 RAUDLATUL ULUM KENCONG • All Rights Reserved.
back to top